Chris Hemsworth Jadi Sasaran Penceroboh, Tiga Kenderaan Dicuri Dari Rumahnya

Kediaman Chris Hemsworth dan isterinya, Elsa Pataky, di Australia dilaporkan dipecah masuk sekumpulan lelaki bertopeng yang melarikan tiga kenderaan. Menurut laporan 7News, kejadian itu berlaku di rumah pasangan tersebut di Broken Head, selatan Byron Bay, New South Wales, pada awal 11 November lalu.
Pataky dilaporkan berada di rumah ketika kejadian. Model dan pelakon kelahiran Sepanyol itu dikatakan terjaga kira-kira jam 2 pagi selepas anjing peliharaan mereka menyalak. Namun, dia kembali tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas meneliti rakaman kamera keselamatan pada keesokan harinya.
Rakaman berkenaan dipercayai menunjukkan empat lelaki memakai penutup muka memasuki kawasan rumah. Dua daripada mereka dilihat dipercayai membawa pisau. Polis memaklumkan mereka menerima laporan bahawa empat individu tidak dikenali menceroboh kediaman sebelum melarikan tiga kenderaan. Tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut laporan itu, kumpulan berkenaan dipercayai memanjat pagar hadapan, masuk ke garaj dan membawa lari kenderaan yang kuncinya ditinggalkan di dalam. Kenderaan yang dilaporkan hilang ialah sebuah BYD, trak pikap Ram dan Ford Raptor. Ketiga-tiganya ditemukan semula beberapa jam kemudian di lokasi yang jauh dari rumah tersebut, manakala siasatan polis masih diteruskan.
Hemsworth dan Pataky berkahwin pada 2010. Pasangan itu meninggalkan kehidupan di Hollywood dan menetap di Australia pada 2015, dengan hasrat membesarkan keluarga dalam suasana lebih privasi. Mereka mempunyai tiga orang anak: India serta pasangan kembar, Sasha dan Tristan.
Sumber ↗