Odda Akui Sedikit Trauma Selepas Peminat Lelaki Didakwa Bertindak Obses

Auddra Zulkifli
Penyanyi Auddra Zulkifli, yang lebih dikenali sebagai Odda, mengakui dia berasa kurang selesa apabila seorang peminat lelaki didakwa menunjukkan sikap obses terhadap dirinya. Namun, dalam masa sama, anak kepada pasangan selebriti Sharifah Shahirah dan Ijoy Azhari itu berkata dia turut bersimpati terhadap individu berkenaan. Menurut Odda ketika ditemui Gempak, dia sedar orang ramai mungkin lebih bimbang terhadap keselamatannya, sedangkan dia mempunyai pasukan yang boleh membantu. Dia berkata keadaan peminat tersebut juga wajar dilihat dengan berhati-hati dan orang ramai tidak sepatutnya membuat andaian tanpa mengetahui situasi sebenar. “Sejujurnya bagi saya, saya rasa kesian dekat individu itu. Mungkin orang nampak kesian dekat saya, ya saya kurang selesa ketika itu tapi saya juga kesian kat dia sebab saya ada ramai peminat, dan team saya boleh tolong saya,” katanya. Odda turut menyebut bahawa ramai orang berpendapat lelaki itu waras dan bekerja, tetapi dia tidak mahu membuat kesimpulan tentang keadaan individu tersebut. Penyanyi berusia 17 tahun itu berkongsi perkara berkenaan ketika menghadiri majlis pengumuman 10 finalis Anugerah Bintang Popular di Ombak KLCC, Kuala Lumpur, pada Rabu. Insiden itu bagaimanapun meninggalkan kesan kepadanya. Odda mengakui berasa sedikit trauma dan kini lebih menjaga batas ketika berhadapan dengan peminat lelaki. Dia berharap peminat yang mengagumi seseorang artis tidak bertindak melampaui batas sehingga membuatkan artis berasa tidak selesa. “Kalau minat atau obses dengan artis, saya rasa anda tak perlu berkelakuan seperti itu. Mungkin anda boleh berubah sebab kalau anda nak rapat dengan artis anda, anda kena buat mereka rasa selesa untuk dekat dengan anda,” ujarnya. Sebelum ini, video yang tular memaparkan seorang peminat lelaki beberapa kali didakwa bertindak obses terhadap Odda dan menarik perhatian pengguna media sosial.
Sumber ↗